JUN 2021

Perkhidmatan Bas Ke PPV Di Bandar Utama


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan kerjasama agensi berkaitan dan syarikat bas menyediakan perkhidmatan bas untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bandar-bandar utama di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shing berkata, syarikat bas terbabit dan Metro Sarawak Sdn Bhd telah menyediakan jadual serta laluan bas berkenaan ke PPV di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Miri.

Orang ramai boleh mendapatkan jadual serta laluan bas berkenaan di laman sesawang http://mot.sarawak.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lee berkata, maklumat itu turut diagihkan kepada semua Residen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) untuk dihebahkan kepada orang ramai di semua bahagian dan daerah.

Penyediaan perkhidmatan bas itu merupakan satu daripada cara pengangkutan untuk memudahkan orang ramai ke PPV, katanya.

Kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas berkenaan kerana menyedari kesukaran orang ramai datang ke PPV ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan menggunakan pengangkutan bas, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai masalah tempat meletak kenderaan.

Justeru, beliau berharap lebih ramai orang akan ke PPV untuk mendapatkan vaksin.

Sumber dari : Jiwa Bakti